2025-09-15
HaiPress
Foto RTM
KUALA LUMPUR,13 September - Belanjawan 2026 diharap menyediakan peruntukan khas bagi membantu penggiat industri pelancongan menaiktaraf atau membaikpulih infrastruktur serta premis pelancongan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360 Sdn Bhd,Datuk Naresh Mohan berkata,kerajaan boleh menawarkan geran padanan atau rebat cukai sebagai sokongan kepada penggiat industri,bertepatan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
''Banyak hartanah pelancongan yang sudah lama tidak diperbaharui dan dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia,kita perlu pastikan kemudahan dinaik taraf agar Malaysia mampu menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelancong. Ini merupakan satu langkah penting,” jelasnya kepada RTM.
Beliau turut mencadangkan pemberian insentif bagi aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan oleh syarikat swasta,terutamanya bagi penganjuran acara yang berskala besar seperti Industri mesyuarat,insentif,persidangan dan pameran (MICE).
Jelasnya,industri itu mempunyai kesan limpahan kepada ekonomi domestik dan menyumbang secara signifikan kepada jumlah perbelanjaan pelancong,menerusi kemasukan pelbagai delegasi antarabangsa.
Di bawah Belanjawan 2025,sebanyak RM550 juta diperuntukkan bagi mempergiatkan promosi dan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Peruntukkan tersebut merangkumi penganjuran aktiviti budaya,acara pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia.