2025-09-08
HaiPress
KUALA LUMPUR,8 September - Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keenam berturut-turut di Bursa Malaysia,merekodkan dana berjumlah RM148.6 juta sepanjang minggu dagangan berakhir 4 September 2025.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata,
pelabur runcit tempatan juga meneruskan momentum belian untuk minggu kedua dengan belian bersih berjumlah RM38.9 juta.
Bank pelaburan itu dalam Laporan Aliran Dana Mingguannya berkata,pelabur asing melanjutkan siri jualan bersih kepada sembilan minggu.
''Bagaimanapun,aliran keluar bersih menyusut kepada RM187.6 juta berbanding RM1.41 bilion pada minggu sebelumnya.
“Angka yang lebih kecil ini sebahagian besarnya disebabkan minggu dagangan singkat,dengan pasaran ditutup pada Isnin dan Jumaat kerana cuti umum,” kata MBSB IB.
Tambahnya,pelabur asing adalah penjual bersih pada dua daripada tiga hari dagangan dengan aliran masuk dicatatkan pada Rabu berjumlah RM173.2 juta.
Mengikut sektor,aliran masuk bersih asing terbesar adalah dalam pembinaan (RM135.3 juta),pengangkutan dan logistik (RM41.5 juta) serta penjagaan kesihatan (RM38.9 juta).
Aliran keluar terbesar pula dicatatkan dalam perkhidmatan kewangan (RM417.1 juta),telekomunikasi dan media (RM43.1 juta) serta utiliti (RM35.9 juta).
''Sementara itu,purata volum dagangan harian menurun merentasi semua kumpulan pelabur.
''Pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 15.7 peratus dan 17.5 peratus,manakala pelabur asing menunjukkan penyusutan lebih ketara sebanyak 42.2 peratus,'' jelas MBSB IB.