2025-08-14
HaiPress
Majlis Peluncuran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC)
KUALA LUMPUR,13 Ogos - Malaysia berpotensi menjana nilai ekonomi tambahan sehingga RM110 bilion dengan mempercepatkan pelaksanaan strategi pengkomputeran awan bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Menteri Digital,Gobind Singh Deo berkata,setiap satu peratus peningkatan penggunaan teknologi awan mampu menyumbang sehingga RM10.5 bilion kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Jika kita dapat menggalakkan setiap rakyat Malaysia mengubah cara mereka bekerja dan berurusan,kita boleh bayangkan lonjakan permintaan terhadap data serta keperluan transformasi pada masa hadapan.
"Saya fikir itulah sebabnya acara pada hari ini penting," katanya dalam ucaptama Majlis Peluncuran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC),hari ini.
NCCP merupakan dasar pertama negara yang digubal sebagai langkah strategik untuk membangunkan ekosistem digital yang selamat,inklusif dan mampan.
Dasar itu akan menyokong peralihan sektor awam dan swasta ke arah pendigitalan yang lebih cekap,selain meningkatkan keupayaan perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS) untuk bersaing dalam ekonomi digital.
Antara lima tonggak utama NCCP termasuk mengukuhkan penerimaan teknologi awan di Malaysia,menjadi panduan kepada sektor awam dan swasta,memperkukuh perlindungan serta privasi data,memacu keterangkuman digital serta memastikan kelestarian alam sekitar.