2025-07-07
IDOPRESS
Datuk Seri Ahmad Maslan.
KUALA LUMPUR,7 Julai -Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 di pekarangan Pasar Kedai Payang,Kuala Terengganu bermula 10 hingga 12 Julai ini sarat pengisian menarik dan perkhidmatan langsung daripada agensi kerajaan pusat dan negeri.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Ahmad Maslan,pemilihan Terengganu sebagai lokasi kali ini adalah kesinambungan jelajah PMR di zon Pantai Timur,selepas penganjuran di Kuantan sebelum ini.
Program sama turut dilaksanakan di Johor Bahru,Tawau dan Lumut.
“Program ini bukan sekadar pameran,tetapi satu platform penyampaian perkhidmatan secara terus kepada rakyat. Dari urusan pertukaran kad pengenalan,semakan KWSP,pendaftaran JPJ,sehinggalah ke perkhidmatan gunting rambut dan penukaran helmet percuma – semuanya ada di sini,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media,hari ini.
Antara pengisian utama PMR Terengganu termasuklah 24 reruai pameran kementerian dan agensi,ceramah dasar kerajaan MADANI,jualan MADANI dengan potongan harga 10% hingga 30%,serta pelbagai aktiviti komuniti seperti pesta mencandat sotong dan program kerohanian ‘Rabbani’ yang dijadualkan pada petang Khamis.
Orang ramai turut berpeluang menikmati perkhidmatan penukaran minyak motosikal secara percuma,diskaun 50% saman trafik PDRM serta menyertai Karnival Kerjaya yang menawarkan peluang pekerjaan.
“Kita mahu rakyat menyuarakan pandangan,keluhan dan cadangan mereka terus kepada petugas di reruai agensi. Ini penting untuk kita menambah baik dasar dan perkhidmatan sedia ada,” ujar beliau.
Program akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 9 malam pada hari Khamis & Jumaat manakala 9 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu.
Selain itu,turut diadakan majlis tahlil dan doa selamat 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terkorban dalam nahas bas baru-baru ini.
Majlis penutup dijangka diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar Terengganu serta barisan Menteri Kabinet.
Program PMR edisi keempat ini dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Kerja Raya selaku kementerian peneraju,dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan,Jabatan Perdana Menteri.