Program UTC 2.0: Galak keusahawanan mahasiswa, perkasa komuniti

2024-12-18 IDOPRESS

Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyempurnakan Program UTC 2.0 di Kampus Sultan Azlan Shah

TANJONG MALIM,18 Disember- Program 'University to Community (UTC) 2.0' berpotensi sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa,selain menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata,program itu membuktikan kolaborasi berimpak tinggi antara kerajaan,institusi pengajian tinggi (IPT),industri dan komuniti setempat seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2021–2025.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program University to Community (UTC) 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI di Panggung Percubaan,Kampus Sultan Azlan Shah,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini,hari ini.

Beliau berkata keusahawanan adalah satu daripada teras penting dalam pembangunan IPT.

Melalui program seperti UTC 2.0,ia diyakini dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja bersedia untuk mencipta peluang pekerjaan,tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara secara langsung.

“Sehingga kini,lebih 150,000 mahasiswa terbabit dalam aktiviti keusahawanan di kampus,manakala lebih 10,000 graduan IPT memilih untuk menjadi pencipta pekerjaan (job creator) selepas tamat pengajian. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN) yang memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan sosial,iaitu elemen teknologi dan inovasi diterapkan untuk menyelesaikan cabaran komuniti.

Lebih 420 peserta dari pelbagai IPT membentangkan 21 projek perniagaan serta membabitkan lebih 1,000 ahli komuniti,termasuk golongan asnaf,pesara tentera,dan orang kurang upaya (OKU) yang telah dibantu sama ada melalui peluang pekerjaan atau peningkatan pendapatan.

“Pendekatan ini penting untuk merakyatkan IPT,malah kita mahu komuniti setempat merasai impak langsung daripada hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan di universiti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKT Logistics Group Sdn Bhd atas sumbangan dana berjumlah RM50,000 yang disalurkan kepada 20 syarikat pelajar dengan RM20,000 sebagai dana pemula dan RM30,000 sebagai dana pemacu.

“Sokongan sektor swasta adalah elemen kritikal dalam memastikan kejayaan program keusahawanan di IPT.

“Hubungan erat antara sektor swasta dan IPT akan melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu,tetapi juga bersedia menyumbang kepada industri melalui inovasi yang boleh dipercayai pada masa hadapan,” jelasnya.

Beliau turut memuji usaha beberapa perusahaan sosial di Malaysia seperti EcoKnight dan Biji-biji Initiatives,yang mengintegrasikan teknologi dengan prinsip alam sekitar,sosial,dan tadbir urus (ESG) dalam model perniagaan mereka.

“Kita berharap perusahaan sosial yang lahir daripada IPT akan terus maju dan menyumbang kepada agenda Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030,” ujar beliau.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT,Fazidah Mustafa,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI,Profesor Dr Norkhalid Salimin,Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI,Profesor Madya Dr Sharul Effendy Janudin.

Sementara itu,Naib Canselor UPSI,Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff,menyifatkan pemilihan UPSI sebagai penyelaras program keusahawanan peringkat nasional itu sebagai satu penghormatan besar kepada universiti tersebut.

“Sebagai tuan rumah,UPSI amat berbesar hati dapat menerima kunjungan daripada wakil 18 universiti awam,politeknik,kolej komuniti,serta universiti swasta yang bersama-sama menjayakan program ini.

Beliau berkata program UTC 2.0 dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mampu berdikari tetapi juga bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti.

“Kolaborasi strategik antara mahasiswa dan komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga menyumbang kepada peningkatan produk dan perkhidmatan yang lebih relevan dengan kehendak pengguna.

“Melalui usaha yang konsisten,program ini telah meletakkan UPSI sebagai peneraju dalam keusahawanan sosial di peringkat IPT”,katanya.

Dalam majlis itu,Mustapha turut menyampaikan anugerah kepada universiti yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kategori yang dipertandingkan sempena program UTC 2.0.

Bagi kategori Pembentangan Terbaik dimenangi oleh Universiti Malaysia (UM),Pempamer Terbaik (Universiti Utara Malaysia),Projek Terbaik dimenangi oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Kolej Komuniti Beaufort.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Maklumat Permainan Sejagat      Hubungi kami   SiteMap