2024-12-12 HaiPress
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution
KUALA LUMPUR,12 Disember- Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution menyeru kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) agar memperkukuh jaringan antarabangsa.
Ini khususnya dalam perkongsian berkaitan integrasi teknologi terkini bagi mempertingkat keselamatan di kawasan perairan negara.
Kerjasama seumpamanya penting mengambil kira pertahanan di kawasan perairan yang semakin kompleks didorong perkembangan teknologi.
"Maritim Malaysia terus menjalin hubungan kerja,jaringan kerja dengan agensi-agensi termasuk dari negara-negara luar. Sekarang ini,sudah berlangsung dengan baik. Antaranya,Turkiye,Amerika Syarikat,negara-negara ASEAN.
Jadi,saya mahu ia diberikan peningkatan khusus kerana itu akan memberikan potensi yang lebih besar. Dalam mengawal sempadan ini,kita harus ada kerjasama daripada sudut kapasiti pembaharuan dan juga perkongsian strategik," kata Saifuddin,hari ini.
Beliau ditemui dalam sidang media seusai Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Sementara itu,KDN tumpu penggunaan teknologi terkini bagi mempertingkat keselamatan di lebih 200 laluan tikus di seluruh negara.
Jelas Datuk Seri Saifuddin,kaedah terbaik akan dikenal pasti menerusi pembentangan ‘Proof of Concepts’ (POC) oleh syarikat dari dalam dan luar negara.
"Kita akan menjemput syarikat untuk melakukan POC. Teknologi apa mereka ada,kepakaran apa mereka ada,data jenis apa mereka boleh kumpulkan dan kita akan buka kepada bukan hanya satu tetapi kepada lebih daripada satulah.
Bukan hanya kepakaran asing tapi kepakaran dalam negara. Itu dari sudut langkah ke depan kita. Apakah kita melihat opsyen pada masa ini? Buat masa sekarang KDN pilih untuk tengok kepada teknologi dan inovasi," tambah Datuk Seri Saifuddin.