2025-08-14
HaiPress
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,14 Ogos - Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada Khamis berikutan pelabur berhati-hati selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini walaupun terdapat spekulasi yang meningkat mengenai penurunan kadar faedah AS.
Pada 8.05 pagi,mata wang tempatan rendah kepada 4.2045/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2085 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen berhati-hati dalam pasaran mata wang sebahagian besarnya didorong oleh ketidaktentuan mengenai langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang seterusnya walaupun kemungkinan penurunan kadar faedah pada September meningkat.
“Jangkaan penurunan kadar faedah AS adalah tinggi terutamanya selepas kenyataan daripada Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent,yang mencadangkan Fed perlu menurunkan Kadar Dana Fed sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang,” katanya kepada Bernama.
Katanya walaupun Fed kekal sebagai institusi bebas dan Setiausaha Perbendaharaan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan Fed,cadangan Bessent menunjukkan ekonomi AS lemah dan memerlukan bantuan.
“Oleh itu,ringgit dijangka terus mengukuh. Semalam,ringgit meningkat berbanding dolar AS sebanyak 0.57 peratus kepada RM4.2063.
“USD/MYR dijangka (susut) di bawah paras RM4.20 berikutan prospek penurunan kadar faedah AS yang meningkat,” katanya.
Pada sesi awal,ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8608/8688 daripada 2.8554/8586 pada Rabu,rendah berbanding pound kepada 5.7106/7262 daripada 5.7078/7139,bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.9243/9378 daripada 4.9305/9357.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2858/2953 daripada 3.2864/2902 semasa ditutup semalam dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0235/0700 daripada 13.0276/0476.
Bagaimanapun,mata wang tempatan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/260.3 daripada 259.4/259.8 dan berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.43 daripada 7.41/7.42 pada Rabu.- BERNAMA