2025-07-30
HaiPress
Kemboja dan Thailand bersetuju menghentikan semua tindakan ketenteraan / Foto JPM
PHNOM PENH,30 Julai - Kemboja menyatakan komitmen teguh untuk menyelesaikan konflik sempadan dengan Thailand serta merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana menyegerakan mesyuarat khas antara kedua-dua negara jiran itu di Putrajaya pada Isnin.
Malaysia menghantar delegasi ke Kemboja semalam,diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar,bagi memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
“Kemboja merakamkan penghargaan mendalam kepada Malaysia,selaku Pengerusi ASEAN semasa atas tindakan pantas menghantar delegasi yang diketuai panglima angkatan tentera ke Thailand dan Kemboja.
“Bagi membincangkan pembangunan mekanisme terperinci untuk pelaksanaan,pengesahan dan pelaporan gencatan senjata,” menurut Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja semalam.
Pegawai Malaysia berada di Phnom Penh bagi menyelaras pelaksanaan gencatan senjata dan pemulihan keadaan seperti biasa di kawasan sempadan utara Kemboja yang terjejas akibat konfrontasi bersenjata sejak 24 Julai.
Kemboja dan Thailand bersetuju menghentikan semua tindakan ketenteraan berkuat kuasa tengah malam Isnin,susulan mesyuarat khas yang diusahakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amerika Syarikat merupakan penganjur bersama mesyuarat itu manakala China bertindak sebagai pemerhati.
“Kemboja amat berharap agar pasukan pemerhati berkecuali yang bertanggungjawab memantau,mengesahkan dan memudah cara pelaksanaan penuh gencatan senjata dapat ditubuhkan segera,selaras dengan ketetapan mesyuarat khas di Putrajaya,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Kemboja menolak sekeras-kerasnya sebarang tuduhan mengelirukan dan direka-reka yang memutarbelitkan fakta di lapangan serta mengancam kepercayaan dan dialog yang penting bagi keamanan berkekalan.
“Kemboja mengulangi bahawa ia tidak mempunyai niat – sekarang atau pada masa hadapan – untuk melanggar gencatan senjata. Matlamat utama kami ialah memastikan keamanan bukan sahaja wujud,tetapi berkekalan demi manfaat kedua-dua negara dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA