2025-03-12
HaiPress
Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR,11 Mac- Sembilan lelaki warga Bangladesh ditahan menerusi Operasi Khas bagi membanteras 'ulat kad sim' di Ruang Legar,Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1,semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban,dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu berdasarkan maklumat awam.
"Dalam operasi tersebut,pihak berkuasa merampas empat pasport Bangladesh,10 unit telefon bimbit,121 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi,lapan jarum pembuka kad SIM,serta wang tunai berjumlah lebih RM1,500.
"Modus operandi mereka dipercayai menyasarkan pelancong warga Bangladesh yang baru tiba di KLIA dengan menjual kad SIM yang didaftarkan atas nama individu lain pada harga RM25 sekeping," menurut kenyataan itu.
Kegiatan tersebut dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dan hasil penjualan dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2,000.
Selain itu,hasil pemeriksaan mendapati lima daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,dua telah tinggal lebih masa,manakala dua lagi melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.