2024-11-25 HaiPress
Mei tahun lalu,KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch dan merampas koleksi jam bertemakan pelangi
PUTRAJAYA,25 November- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memerintahkan 172 jam tangan daripada siri 'Pride Collection' yang dirampas tahun lepas,dikembalikan semula kepada syarikat pengimport dan penjual jam tangan,The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd.
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan laporan penuh berkenaan keputusan penghakiman tersebut.
"Kita melakukan penguatkuasaan dalam kes itu jelas mengguna pakai akta yang ada dan bahagian penguat kuasa mengikut pertimbangan pada waktu itu.
"Apabila tindakan tersebut kemudiannya dicabar di mahkamah dan kalau demikian keputusan mahkamah,KDN seharusnya menghormati keputusan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini,hari ini.
Terdahulu,Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan The Swatch Group (Malaysia) selaku pemohon terhadap Ketua Setiausaha KDN,Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN,Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Datuk Amarjeet berkata mahkamah turut membenarkan permohonan oleh pemohon untuk membatalkan notis penyitaan atas alasan rampasan tersebut dibuat tanpa waran dan ia tidak sah.
Pada 24 Jun 2023,The Swatch Group (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan KDN merampas 172 jam tangan termasuk siri 'Pride Collection' yang didakwa dikaitkan dengan golongan lesbian,gay,biseksual dan transgender (LGBT).
KDN pada 13 hingga 14 Mei 2023 telah menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang didakwa dikaitkan dengan LGBT.
Kerajaan turut mewartakan pengharaman terhadap mana-mana jam tangan Swatch atau bahan berkaitan,termasuk kotak yang mengandungi pengaruh LGBT,di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.